Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 31 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan penambahan kawasan Hutan Simpan Bera seluas 572 hektar menjadikan 1.6 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kelulusan ini membuktikan kesungguhan Pahang dalam menerajui pengurusan hutan yang mampan dan bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penambahan kawasan Hutan Simpan Bera seluas 572 hektar menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Bilangan 15 Tahun 2026.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuhkan koridor Central Forest Spine, malah membuktikan kesungguhan Pahang dalam menerajui pengurusan hutan yang mampan dan bertanggungjawab.
“Dan apa yang lebih penting, Pahang sehingga hari ini terus berjaya mengekalkan keluasan kawasan berhutan seluas 2.057 juta hektar, iaitu lebih 57.07 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri iaitu kira-kira 3.6 juta hektar, dengan 1.6 juta hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.
Tambahnya dalam tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak 169 kajian biodiversiti telah berjaya dilaksanakan, termasuk penemuan beberapa spesies baharu yang menambah nilai kepada khazanah negeri.
“Dalam bidang biodiversiti pula, Majlis Biodiversiti Pahang terus menjadi tonggak penting kepada usaha pemuliharaan dan penyelidikan negeri.
“Hari ini, perasmian Dasar Biodiversiti Negeri Pahang menjadi satu lagi pencapaian penting yang akan menjadi panduan kepada pengurusan biodiversiti negeri secara lebih sistematik, lestari dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang berjaya merekodkan hasil keseluruhan sebanyak RM141 juta, melibatkan hasil jabatan berjumlah RM117 juta dan kutipan premium sebanyak RM24 juta pada tahun lepas.
Beliau berkata hasil kutipan hasil Kerajaan Negeri setakat ini juga telah melebihi RM500 juta dan melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran lebih RM1 bilion buat tahun kelima berturut-turut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang: Celebrating Stories pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). -PAHANGMEDIA

