Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 15 APRIL 2026 : Pengoperasian generator bagi pengepaman air selama 24 jam akan dilaksanakan untuk mengatasi gangguan bekalan air di RPS Kedaik bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata tambahan waktu pengoperasian pam ini bagi memastikan tangki air dapat menampung lebih jumlah bekalan air.
“Daripada 215 buah rumah ada 15, 20 buah rumah yang sering terputus bekalan air sebab pihak PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) telah mengantar tangki-tangki untuk membantu meringankan beban. Jadi, saya juga dipahamkan oleh pihak PAIP ini ada beberapa peringkat cara dia nak memulihkan (bekalan air).
“Yang pertama tadi, hantar tangki dan dia supply air itu bila air tangki itu habis, tangki statik. Kemudian itu, langkah kedua, dia cuba operasikan generator yang sedut air itu di loji dengan jangka masa yang lebih lama sebab dulu ada faktor-faktor kekangan pada pihak PAIP, dia hanya dapat buat operasi dalam jangka masa yang agak singkat, 16 jam.
“Sekarang ini dia usulkan 24 jam dalam jangkaan PAIP kalau diusulkan dalam masa 24 jam, tangki air yang di atas ini akan dapat support air dengan lebih memadai, mencukupi. Operasi pam 24 jam tu dipahamkan oleh PAIP bermula pada hari ini,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri setiasa mendengar rintihan masyarakat berkaitan permasalahan bekalan air di negeri ini bagi menjamin rakyat mendapat keselesaan.
Mengulas mengenai bantuan kewangan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada pelajar Orang Asli bagi memastikan mereka terus cemerlang dalam bidang pendidikan.
“Tadi saya pergi ke sekolah, bantuan diberi oleh pihak JAKOA tadi, di mana setiap hari pelajar diberi belanja oleh JAKOA RM4 ringgit sehari kepada 179 pelajar. Kita dah agihkan bantuan kepada pelajar-pelajar berkenaan.
“Kita harap anak-anak Kedaik di sekolah terus belajar bersungguh-sungguh, mak bapak beri sokongan kepada anak-anak supaya anak-anak kita cemerlang dalam pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di RPS Kedaik, Muadzam Shah hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin. -PAHANGMEDIA

