Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 15 APRIL 2026 : Seramai 18,743 penjawat awam Persekutuan berpendapatan di bawah RM3,000 di negeri ini menerima manfaat daripada Insentif Khas Pahang 1st hari ini.
Pemberian terbabit membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.75 juta dengan setiap penerima menerima RM200 seorang, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut amat signifikan dalam meringankan beban kos sara hidup masa kini, khususnya susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat krisis di Timur Tengah.
“Satu usaha yang sangat baik dan sepertimana juga Kerajaan Negeri, kita mengikut keupayaan kita, keupayaan kewangan kita, kita bantu mereka yang memerlukan.
“Dan ini saya sangat yakin dapat membantu meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan, yang terkesan.
“Khususnya yang terkesan akibat krisis Timur Tengah di mana kita semua tahu harga barangan naik dua kali tiga kali ganda dan sudah sudah pastinya akan berlaku dalam peningkatan kos dalam kehidupan harian individu-individu yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Muadzam Shah, di sini hari ini.
Program berkenaan turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; serta barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan pimpinan setempat.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut mengadakan tinjauan ke Tapak Tambahan Pelaburan Farm Fresh Berhad serta menyertai program Minum Santai Bersama Tok Wan di Gerai Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah.-PAHANGMEDIA

