Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 16 APRIL 2026 : Penjawat awam persekutuan menyifatkan Insentif Khas Pahang 1st sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mereka, khususnya dalam usaha meringankan beban kos sara hidup.
Menurut Encik Ahmad Hafiz Arshad, 31, yang berkhidmat di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, dia merasa amat terharu dan menyatakan bahawa pemberian ini dapat memberi suntikan semangat kepada mereka untuk bekerja dengan lebih baik.

“Saya rasa sangat bersyukur dan terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan pada tahun ini sebab pertama kali saya dapat sepanjang saya berkhidmat tiga tahun ini dan dengan adanya (insentif) membuat kami bersemangat dan akan berkerja dengan lebih baik dan berintegriti.
“Bantuan ini sangat menolong saya dan keluarga sebab saya gred rendah dan lebih-lebih lagi saya PJJ (Perhubungan Jarak Jauh) selalu berulang, jadi ia dapat menjimatkan kos saya disitu,” katanya.
Puan Siti Fatimah Razikin, 34, dari Jabatan Penerangan Negeri Pahang, menyifatkan bantuan yang diterimanya amat bermakna, khususnya dalam meringankan beban kewangan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas kita menyambut Hari Raya ini, kita dah habis banyak duit, jadi dengan bantuan ini memang sangat membantu kita yang bergaji bawah RM 3,000 ini. Ini adalah kali pertama kami dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya sangat bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang terutama sekali YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail diatas bantuan ini,” katanya.

Manakala, Encik Izzat Abd Rahman, 33, yang juga dari Jabatan Penerangan Negeri Pahang turut melahirkan harapan agar insentif tersebut dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Bantuan ini telah disalurkan kali pertama kepada semua penjawat awam persekutuan dan alhamdulillah dengan ini kami berharap agar bantuan ini dapat diteruskan dan ditambah baik lagi.
“Bantuan ini dapat meringkan beban kami sebagai penjawat awam ini. Terima kasih Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

