Oleh: Norhafizan Zulkifli
ROMPIN, 15 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan penambahan sebanyak 4,000 ekor lembu di Tapak Tambahan Pelaburan Farm Fresh di Muadzam Shah menjelang akhir tahun ini, sekali gus memperkukuh sektor agromakanan negeri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini kawasan baharu seluas 202.3 hektar yang diluluskan Kerajaan Negeri telah menempatkan kira-kira 1,000 ekor lembu.

“Tadi, yang kawasan baru yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri 500 ekar, telah pun ada 1,000 ekor lembu.
“Dan insyaAllah akan bertambah 4,000 lagi sebelum akhir tahun ini. Lembu ini kita import daripada Australia.” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di sekitar Muadzam Shah, di sini hari ini.
Turut serta, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Katanya, lawatan ke tapak projek berkenaan mendapati operasi penternakan berjalan lancar selain menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah ternakan.

Dalam pada itu, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pendekatan Kerajaan Negeri menerusi program Jeljah Aspirasi Pahang 1st adalah amalan biasa yang dilakukan bertujuan memastikan pemantauan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih dekat dan menyeluruh.
“Jadi, Exco (Pengerusi Jawatankuasa) yang bertanggungjawab berhubung dengan pelaburan akan pergi tempat yang berhubung dengan pelaburan, yang belia dengan belia, pertanian dengan pertanian.
“Saya sendiri akan melihat beberapa tempat yang difikirkan boleh untuk saya melihat dan sekiranya ada masalah-masalah dapat diselesaikan,” ujarnya.
Dalam program sama, beliau turut meluangkan masa menghadiri program Minum Santai Bersama Tok Wan bersama masyarakat setempat di Gerai Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah.
Tambahnya, program santai seperti itu memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan serta permasalahan secara terus kepada kepimpinan negeri.
“Alhamdulillah, ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh masyarakat yang boleh diambil tindakan segera, manakala sebahagiannya memerlukan perbincangan lanjut di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

