Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 01 APRIL 2026 : Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bukti komitmen kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pendidikan pelajar di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, ia juga manifestasi daripada perancangan yang baik daripada semua pihak.
“Apabila keputusan diumumkan pada hari semalam, kita nampak satu peningkatan. Kejayaan yang saya kira cukup cemerlang di antara pencapaian yang sebelum-sebelum ni. Saya tahu ini antara yang terbaik.
“Pertama sekali adalah dari segi peningkatan Gred Purata Negeri dari 4.23, kita telah melonjak pada 4.08. Iaitu lebih kurang 0.15. Dan semua ni berlaku kerana kita mengambil pendekatan bahawa setiap satu perkara yang nak kita hasilkan, dia mesti bermula dengan perancangan yang baik. Dan apabila perancangan telah dibuat dan melibatkan semua pihak bukan semata-matanya satu pihak sahaja.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan iaitu komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan negeri. Dari peringkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, hinggalah ke peringkat kepimpinan negeri yang diterajui YAB Diraja Menteri Besar,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang amat komited dalam memperkasakan pendidikan di negeri ini melalui pelbagai inisiatif yang disalurkan.
“Bukti komitmen YAB Menteri Besar sendiri ialah melalui peruntukan dalam belanjawan negeri iaitu di bawah sektor pendidikan ini meningkat dari setahun ke setahun. Dan kita melihat pada hasil yang telah diperolehi daripada tahun-tahun yang lalu. Dan kita tambah baik antaranya bukan sahaja kita memperkukuhkan yang pendekatan sedia ada tetapi kita menambah baik dengan pengenalan kaedah-kaedah termasuk modul Tok Wan.
“Buku rujukan, buku latihan untuk pelajar-pelajar SPM yang sebelum ini memang tak ada. Dan diperkenalkan supaya anak-anak murid ini dapat membuat latihan dengan bersandarkan kepada kepakaran pemeriksa-pemeriksa, guru-guru yang juga bekerjasama dengan pihak yang terlibat dengan sektor pendidikan ini menyediakan modul-modul yang telah pun dipilih khusus dan setiap subjek yang telah pun diputuskan.
“Jadi pendekatan kita termasuk menyediakan peruntukan untuk juadah makmur pelajar. Bukan sahaja untuk anak-anak pelajar yang ada kertas-kertas peperiksaan pagi dan petang tapi kita bagi semua supaya anak-anak pelajar ini dapat memberikan tumpuan mereka bagi mengulangkaji di saat-saat terakhir,” katanya.
Beliau turut meletakkan harapan agar prestasi GPN dapat ditingkatkan pada tahun hadapan melalui kerjasama dan usaha berterusan daripada semua pihak memandangkan proses kecemerlangan merupakan satu proses perjalanan yang berterusan.
“Andai kita kata kita dapat Gred Purata Negeri 4.08, kita nak pertingkatkan mungkin sebagaimana yang kita hasratkan mencapai bawah 4 ataupun lebih baik daripada itu. Jadi insyaAllah usaha ini kita dakapkan bersama.
“Kita rangkumkan bersama dengan semua pihak termasuk khususnya yang pertama sekali ialah warga pendidik. Kita juga telah melancarkan Plan Transformasi Pendidikan Pahang, Plan 2021 hingga 2030. Ini kita laksanakan secara terancang dan kita lihat bahawa ianya memenuhi kerangka plan yang telah kita umumkan.
“Dengan adanya pendekatan Aspirasi Pahang 1st dan gagasan yang diilham YAB Menteri Besar Pahang, kita berada di landasan yang cukup baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

