Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 MAC 2026 : Di sebalik kejayaan cemerlang yang diraih, tersimpan kisah pengorbanan, doa dan harapan yang tidak pernah putus.
Bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Mohammad Luqman Mohammad Aqsa, kejayaan ini bukan sekadar miliknya, tetapi milik insan-insan yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil sokongan rakan-rakan, ibu bapa serta guru-guru yang tidak pernah mengenal erti lelah sepanjang beliau menghadapi peperiksaan tersebut.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Yayasan Pahang atas tajaan biasiswa, elaun bulanan serta pelbagai bantuan sepanjang saya menuntut di MTNP.
“Kejayaan ini juga hasil sokongan rakan-rakan, doa ibu bapa dan usaha guru-guru yang sentiasa membimbing saya tanpa jemu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 MTNP di Dewan Mahkota MTNP, di sini hari ini.
Beliau turut mengimbau kesusahan hidup ibu bapanya yang menjadi inspirasi untuk terus berjaya serta berhasrat membantu golongan yang memerlukan pada masa hadapan.
“Susah payah ibu bapa saya menjadi pendorong untuk saya membantu mereka yang senasib atau lebih memerlukan pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Fatin Syuhada Ahmad Najami, turut berkongsi rasa yang sama apabila menyifatkan sokongan diterima sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas bantuan dan sokongan yang diterima sepanjang pengajian.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MTNP dan Yayasan Pahang atas sokongan seperti tajaan, biasiswa serta pendedahan dalam pembelajaran,” katanya. – PAHANGMEDIA

