KUANTAN, 31 MAC 2026 : Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila berjaya mengatasi Gred Purata Negeri (GPN).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebanyak 18 SMAN merekodkan GPN 3.57 berbanding 3.83 pada tahun sebelumnya, sekali gus mengatasi GPN Negeri Pahang iaitu 4.08.
“Peratus kelulusan turut meningkat kepada 99.47 peratus berbanding 99.41 peratus pada 2024. Daripada keseluruhan sekolah, 12 mencatat peningkatan, satu kekal manakala lima menunjukkan sedikit penurunan.
“Antara sekolah yang mencatat peningkatan terbaik ialah SMA Pelangai yang melonjak daripada 5.48 kepada 3.60, diikuti Kulliah Al-Lughah Waddin ASAB (4.85 kepada 3.96) dan SMA Al-Basriah (5.26 kepada 4.58).

“Bagi kedudukan terbaik pula, SMA Tengku Ampuan Fatimah mendahului dengan GPN 2.60, diikuti SMA Rompin (3.13) dan SMA Al-Ihsan (3.19). Jumlah pelajar memperoleh keputusan cemerlang Straight A turut meningkat kepada 63 orang berbanding 39 orang pada tahun lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, institusi tahfiz negeri juga mencatat pencapaian cemerlang apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) merekodkan GPS 1.06, tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
“Manakala Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) pula mencatat GPS 0.60, kekal pada tahap prestasi cemerlang walaupun sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Secara keseluruhan, pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan agama serta melahirkan generasi cemerlang dunia dan akhirat. -PAHANGMEDIA

