Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 MAC 2026 : Di sebalik kejayaan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, tersimpan kisah usaha, disiplin dan sokongan yang tidak ternilai buat para pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP).
Bagi Immazaril Khair bin Mazlan, antara faktor paling besar yang menyumbang kepada kejayaannya adalah bantuan buku latihan yang disumbangkan oleh Kerajaan Pahang yang disifatkannya sebagai “senjata” penting dalam memperkukuh kefahaman dan meningkatkan prestasi pembelajaran.

“Sebagai Menteri Besar Pahang, Tokwan Rosdy telah memberikan buku latihan untuk meningkatkan kemahiran pembelajaran kami. Terima kasih saya ucapkan atas bantuan tersebut,” katanya.
Immazaril yang bercita-cita menjadi pakar Bahasa Arab turut berkongsi rutin hariannya dengan mengutamakan waktu tidur yang berkualiti sepanjang menghadapi peperiksaan.
“Rutin harian saya yang berbeza daripada orang lain adalah saya tidur awal supaya saya tidak terlalu terbeban dalam pembelajaran,” katanya ketika ditemui di MTTNP, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Burhanuddin Muhammad Fadzil, berkongsi bahawa beliau menjadikan adik kembarnya sebagai saingan untuk terus berjaya.
“Saya menjadikan adik kembar saya, Muhammad Solahuddin sebagai saingan untuk terus belajar kerana kami sama-sama ingin memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas bantuan yang diberikan melalui Yayasan Pahang, termasuk tajaan biasiswa, kit persekolahan dan kad insentif MBS.
“Terima kasih kepada Tokwan Rosdy kerana banyak membantu kami sebagai anak Pahang dalam melanjutkan pelajaran,” katanya.
Kedua-dua pelajar cemerlang tersebut berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Jordan pada masa akan datang. -PAHANGMEDIA

