Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 04 MAC 2026 : Siasatan terhadap penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkaitan kandungan kontroversi yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial telah selesai dijalankan oleh institusi berkenaan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, pihak UMPSA akan membawa hasil siasatan lengkap oleh jawatankuasa khas kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada minggu hadapan bagi tindakan selanjutnya.
Beliau berkata proses tatatertib yang dijalankan adalah mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.
“UMPSA telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pelajar yang terlibat berkaitan kandungan 3R tersebut. Pihak universiti tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan berbaur kebencian, hasutan atau penghinaan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Tindakan tatatertib akan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar) 2024 ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah.
“Jika sabit kesalahan pelajar boleh dihukum sehingga membawa kepada hukuman dibuang daripada universiti merujuk Kaedah 58 Kaedah- Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya.
Beliau berkata pihak universiti juga telah mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peraturan universiti dan undang-undang yang berkuat kuasa dan telah selesai menjalankan siasatan terhadap pelajar berkenaan dan kini sedang dalam proses pendakwaan.
Sebelum ini tular hantaran di media sosial seorang penuntut UMPSA didakwa telah memijak Al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik berkenaan perkara tersebut.
Penuntut berkenaan ditahan pada 25 Februari lepas bagi membantu siasatan dan kemudiannya telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan berkaitan namun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 April ini. -PAHANGMEDIA

