Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 MAC 2026 : Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini menolak tuntutan dan kos ganti rugi yang difailkan kepada Kerajaan Negeri Pahang melibatkan penahanan dua buah jentera oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Tuntutan berkenaan dilakukan plaintif, Khor Chai Seng kepada Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Pahang dan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Pahang.
Hakim, Noor Asiah Mohamed menolak tuntutan plaintif yang disifatkan terhalang secara statutori dan menjadi akademik apabila plaintif gagal untuk membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bertindak secara tidak munasabah dalam menjalankan kuasa untuk menahan dan merampas jentera tersebut di bawah Seksyen 426A(1) Kanun Tanah Negara 1965.
Kerajaan Negeri Pahang diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Puan Umira Mohd Noor yang turut mewakili Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang, dan Pegawai Penyiasat UPNP, Encik Hanis Zaris Mohd Nazeri pada sesi pendengaran kes.
Pada 2021 plaintif telah menjalankan kerja mencabut, memindah, dan mengangkat bahan batuan dari kawasan Kampung Atong, Kuala Kuantan dan ditahan oleh UPNP pada Mei tahun sama kerana menjalankan kerja tanpa kebenaran sah.
Dalam penahanan berkenaan pihak UPNP telah menyita dua buah jentera dan sebuah pam pasir milik plaintif. -PAHANGMEDIA

