Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 06 MAC 2026 : Seorang pelancong dari Jerman melahirkan rasa teruja apabila berpeluang merasai sendiri keunikan sambutan Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini melalui penganjuran Pesta Pelita Raya Pahang 2026 yang berlangsung di Homestay Kampung Ulu Sungai di sini.
Silke Beckedorf, 56, berkata, dia datang ke Pahang untuk bercuti selama empat minggu dan tidak menyangka berpeluang menyaksikan sendiri suasana pesta pelita yang begitu meriah.

Menurutnya, pengalaman itu sangat istimewa kerana ia merupakan kali pertama dia melihat sambutan seumpama itu yang tidak terdapat di negaranya.
โSaya sangat teruja melihat keunikan pesta ini. Ini kali pertama saya merasai suasana seperti ini kerana di Jerman tidak ada sambutan seperti pesta pelita.

โSelain menikmati keindahan cahaya pelita buluh pada waktu malam, saya juga berpeluang merasai makanan tradisional yang unik seperti lemang dan rendang daging landak yang sangat sedap,โ katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini.
Tambahnya, selain suasana meriah pesta pelita, dia juga tertarik melihat reka bentuk rumah buluh masyarakat Orang Asli setempat yang menjadi antara tarikan utama dalam penganjuran program tersebut.

Sementara itu, bagi pengunjung Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Homestay Pulau Chekas, di sini, Puan Zaini Jantan, 68, berkata, ini merupakan kali pertama dia menyaksikan penganjuran pesta pelita di kawasan homestay.
Katanya, dia yang berasal dari Kampung Pamah Rawas hadir bersama ahli keluarga bagi merasai sendiri kemeriahan acara berkenaan.

โSaya ada dengar orang kata ada buat pesta pelita di sini, jadi saya datang untuk melihat sendiri suasana pesta ini. Memang meriah lah,โ katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Puan Fadhilah Tajul Arifin, 28, dia berharap agar program seumpana itu dapat diteruskan di masa akan datang.
Katanya, program sebegitu bukan sahaja boleh menarik pengunjung dari luar datang ke kampung mereka, malah ia juga dapt merancakkan lagi aktiviti pelancongan eko dan agro di kawasan terlibat. -PAHANGMEDIA

