Oleh : Ummul Qistina Sofea
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus menzahirkan keprihatinan terhadap keluarga mangsa tragedi pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan pada 24 Mei lalu apabila menyalurkan bantuan kepada balu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohamad Bustaman, 28.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada balunya, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, menerusi sesi Ziarah Prihatin Perkeso yang diadakan di kediaman ibu wanita itu di Bukit Setongkol, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, lawatan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan keluarga mangsa sentiasa terpelihara selain menerima bantuan sewajarnya daripada agensi berkaitan.
“Hari ini saya bersama dengan Pegawai PERKESO Negeri dan juga Pengarah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Negeri Pahang menyatuni balu kepada Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim yang meninggal ketika sedang bekerja di ‘offshore’ yang baru-baru ini, pada 24 Mei. Dan PERKESO hadir kerana syarikat (Allahyarham) ini telah mencarum, alhamdulillah.

“… dan hari ini PERKESO hadir memberikan bantuan kepada waris iaitu isterinya dan seorang anak dan isterinya sedang mengandung lapan bulan dan insyaAllah akan bersalin bulan hadapan, dengan bantuan sebanyak RM3,000 lebih (sebulan) sehingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui selepas sesi ziarah berkenaan.
Turut hadir, Pengarah JKM Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad dan Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Encik Hisham Abdul Rahman.
Beliau dalam pada itu mengingatkan kepada semua pekerja di negeri ini agar memastikan majikan masing-masing mencarum melalui PERKESO sebagai persediaan bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.
Katanya lagi, selain bantuan kewangan dari pihak PERKESO, Kerajaan Negeri menerusi JKM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada balu mangsa bagi membantu mereka menghadapi tempoh sukar selepas kehilangan insan tersayang.
“Alhamdulillah, daripada melalui JKM negeri juga memberikan bantuan kepada balu mangsa. Kita menyediakan pegawai kaunselor bagi meninjau keadaan mangsa sekiranya memerlukan khidmat nasihat,” katanya.

Sementara itu, Puan Nurkhaeryna Dhania berkata, beliau bersyukur atas keprihatinan pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan sejak tragedi yang menimpa suaminya.
Beliau berkata, bantuan PERKESO khususnya dalam bentuk bayaran bulanan memberi kelegaan kepada dirinya untuk meneruskan kehidupan bersama anak sulung yang masih kecil selain sedang menantikan kelahiran anak kedua.
“Dapatlah membantu saya meringankan beban, anak masih kecil 1 tahun tujuh bulan lagi, dengan yang dalam kandungan ini lagi, dapatlah membantu meringankan beban saya,” katanya yang dijangka bakal melahirkan cahaya mata keduanya itu pada 30 Julai depan. -PAHANGMEDIA

