Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 04 MAC 2026 : Masyarakat tidak boleh membiarkan penghinaan terhadap agama Islam berlaku tetapi perlu mempertahankan berdasarkan hikmah, adab, serta lunas undang-undang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa mempertahankan maruah agama adalah kewajipan moral dan tanggungjawab iman.
Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal di atas insiden yang dilihat sengaja mengganggu gugat keharmonian negara dan negeri ini termasuklah isu seorang mahasiswa yang bertindak memijak naskah Al-Quran baru-baru ini.
“Perbuatan ini bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadap, bahkan suatu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
“Apabila Al-Quran dipijak maka yang tercalar bukan sekadar kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini saya menegaskan dengan tegas, apabila Al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan.
“Islam menuntut ketegasan tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah semua orang perlu menghormati semua kitab yang diamalkan oleh semua agama dan tidak seharusnya mempersendakan mana-mana agama.
“Kita sebagai orang Islam atau penganut mana-mana agama sekalipun, kita seharusnya menghormati semua kitab-kitab dalam semua agama dan kita tidak harus mempersendakan mana-mana agama.
“Saya selaku Sultan Pahang adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatukan semua rakyat saya tak kira bangsa mana, kaum mana, agama mana sekalipun kerana kita semua na tinggal di bumi pahang ini dalam suasana aman sentosa, harmoni, dan semangat muhibah sentiasa terpelihara dan dengan penuh berkat dan dirahmati Allah SWT.
“Jadi tolong ingat nasihat murni saya kerana tiang perpaduan seperti saya kata tempoh hari, tiang seri perpaduan adalah satu aset bagi kita semua selaku rakyat dan anak Pahang di bumi Pahang ini. Sama-samalah kita memelihara keharmoni kita,” titah baginda.
Paduka Baginda Sultan Pahang turut menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap agama Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi mengikut undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat, dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan.
“Dalam masa yang sama saya ingin menegaskan bahawa mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama-agama lain,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

