Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 04 MAC 2026 : Pemasyhuran nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Felda Jengka 19 merupakan simbolik penghormatan kepada peranan kaum wanita di gugusan Felda Jengka.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah wanita di kawasan Felda memainkan peranan penting dan begitu aktif dalam pembangunan sosial.

“Saya dengan hati yang penuh ikhlas dan suci ingin menamakan dengan memuliakan nama masjid ini dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Bandar Jengka 19.
“Kenapa saya namakan masjid ini dengan nama isteri saya kerana satu penghormatan kepada Tengku Ampuan Tunku Azizah yang juga merangkap isteri saya, Permaisuri buat Negeri Pahang, ibu kepada Putera Mahkota dan anakanda saya, dan kakak kepada kaum keluarga.
“Tetapi yang lebih penting ialah selaku seorang pemimpin wanita kepada pelbagai institusi atau pun persatuan wanita yang sebegitu aktif sekali di Negeri Pahang. Bukan itu saja saya menamakan masjid ini dengan nama Tengku Ampuan sebagai seorang wanita dan juga memberi penghormatan kepada semua wanita-wanita di Felda-felda di Jengka ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah penamaan masjid ini juga tanda pengorbanan para isteri di Felda yang membantu menguruskan pelbagai perkara sementara para suami sibuk dengan urusan peladangan.
Paduka Baginda seterusnya berkenan berangkat menyempurnakan acara menandatangani papan tanda perasmian masjid bernilai RM5 juta yang selesai dibina pada 2022 dan siap pada 2024 serta mula digunakan pada Mac tahun lepas.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menandatangani papan tanda perasmian masjid berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua kemudiannya turut berkenan berbuka puasa dan menunaika solat Maghrib serta solat sunat gerhana bulan berjemaah di masjid yang dapat memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dalam satu-satu masa sebelum berangkat pulang.
Turut mengiringi, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

