Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 FEBRUARI 2026 : Perkhidmatan bas henti-henti Bas.My Kuantan selari dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang efisyen bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, YB. Anthony Loke Siew Fook, ini memandangkan perkhidmatan kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada awal 2027 juga dapat mempelbagaikan pilihan pengangkutan kepada orang ramai.
“Ini satu dasar kita supaya dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam. Dan sekarang ini di semua ibu negeri telah ada perkhidmatan Bas.My ini dan Kuantan adalah yang terbaru yang kita rasmikan pada hari ini.
“Memang kita fokus dulu kepada ibu negeri setiap state capital, ini adalah fasa pertama kita sekarang dengan terlancarnya Bas.My Kuantan, dan selepas itu Kota Kinabalu, maka semua ibu negeri ada perkhidmatan bus berhenti-henti yang lengkap.

“Untuk di Kuantan ini tahun depan dah ada ECRL. Jadi ada satu lagi option untuk orang ramai untuk balik ke Kuantan melalui pengangkutan awam, dengan ECRL,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti Bas.My Kuantan di Stadium Darul Makmur hari ini.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Beliau berkata setakat Januari lepas, sebanyak 129,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan sejak ia dilancarkan pada Disember 2025.
“Pada bulan Januari ada 129,000 (pengguna) iaitu hampir 4,000 orang setiap hari. Kita lihat bahawa ini adalah satu peningkatan yang agak besar dan kita harap lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan ini pada bulan-bulan yang akan datang.

“Kita menawarkan perkhidmatan yang baik kepada rakyat dengan tambang yang sangat minimal untuk beberapa golongan malah kita bagi tambang percuma kepada warga emas, kepada OKU, dan juga pelajar-pelajar sekolah dengan hanya perlu mendaftar satu kad konsesi maka mereka boleh dapat tambang percuma iaitu menaiki pada bila-bila masa tanpa had,” katanya.
Tambah beliau, pengendali syarikat Bas.My dibayar sebanyak RM15.6 juta setahun bagi mengendalikan perkhidmatan yang melibatkan daerah Kuantan dan Pekan di negeri ini.
“Kita lantik syarikat tempatan iaitu Sanwa Tours sebagai pengendali Bas.My Kuantan dengan 55 buah bas keseluruhannya dengan peruntukan RM15.6 juta setahun kita bayar kepada pengendali supaya mereka mengendalikan perkhidmatan ini.
“Dan perkhidmatan ini meliputi dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Kuantan dan Majlis Perbandaran Pekan. Kontrak ini akan berlanjutan selama lima tahun. Jadi lima tahun ini memang pengendali ini akan melaksanakan perkhidmatan ini dan selepas tamat tempoh lima tahun kita akan tender semula perkhidmatan ini.
“Jadi kita mengharapkan bahawa pengendali ini akan memberikan satu perkhidmatan yang baik kepada masyarakat tempatan,” katanya. -PAHANGMEDIA

