KUANTAN, 11 FEBRUARI 2026 : Penjawat awam Pahang diberikan kelonggaran untuk pulang lebih awal pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan iaitu pada jam 12.30 tengah hari.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berhubung pelarasan waktu bekerja bagi Penjawat Awam Negeri Pahang pada hari Jumaat sepanjang Bulan Ramadan Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.
“Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa waktu bekerja bagi Penjawat Awam Negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan bermula selewat-lewatnya pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari.
“Ketetapan ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 16 Januari 2026. Tempoh pelaksanaan adalah bermula 19 Februari 2026 hingga 20 Mac 2026,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memahami kepentingan Ramadan sebagai bulan ibadah, justeru, pelarasan ini dibuat dengan penuh tanggungjawab bagi memberi keseimbangan antara tuntutan tugas dan penghayatan Ramadan tanpa mengabaikan komitmen penjawat awam kepada rakyat.
“Saya yakin seluruh penjawat awam Negeri Pahang akan terus mengekalkan profesionalisme, integriti dan komitmen tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang bulan yang mulia ini. Semoga Ramadan tahun ini membawa keberkatan dan memperkukuh semangat khidmat bakti kita kepada negeri Pahang Darul Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

