Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 FEBRUARI 2026 : Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 91.70 peratus setakat Januari selari dengan jadual yang ditetapkan.
Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, YB. Anthony Loke Siew Fook, pembinaan projek ini selari dengan jadual penyiapan menjelang akhir tahun ini melibatkan jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak.
“Hari ini kita menerima Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco). Jadi dua set pertama telah pun tiba di Malaysia dan hari ini secara rasminya kita menerima train pertama.
“Dan ini menandakan bahawa Projek ECRL telah mencapai satu milestone yang penting. Keseluruhannya, projek ini telah mencatat progres hampir 90 peratus, dan dengan menerima train ini maka kita akan memulakan fasa yang penting iaitu fasa pengujian dan pentauliahan.

“Testing untuk life track dan sebagainya. Jadi ini selari dengan perancangan keseluruhan projek ECRL dan kita menjangkakan bahawa jadual yang telah pun dirancang iaitu operasi bermula bulan Januari 2027 dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) di Stesen ECRL KotaSAS hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Malaysia, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Tambah beliau, pihaknya juga memastikan pengguna ECRL menerima rangkaian internet yang baik melalui kerjasama bersama pihak Maxis bagi memastikan perjalanan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Hari ini juga kita menyaksikan penyerahan dokumen kepada pihak Maxis untuk memastikan bahawa rangkaian internet dapat diberikan atau pun ditawarkan kepada semua pengguna ECRL apabila perkhidmatan ini berjalan kelak di sepanjang laluan.
“Ini amat penting untuk penumpang-penumpang train kerana dengan adanya rangkaian internet, maka mereka boleh buat kerja semasa mereka mengambil train, atau pun mereka boleh menonton video dan sebagainya.
“Dan ada rangkaian internet, segala urusan dapat dilaksanakan semasa perjalanan. Kerana bayangkan satu perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu lebih empat jam, jadi empat jam itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila ada internet,” katanya.
Pembinaan Projek ECRL sepanjang 665 kilometer dijangka memulakan pengoperasian komersial bermula Januari 2027 dengan melibatkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 buah E-Loco bagi tujuan kargo daripada syarikat CRRC Dalian.
Tren EMU mampu beroperası sehingga kelajuan 160 km/j dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya manakala E-Loco ECRL berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 km/j dengan keupayaan menarik sehingga 45 gerabak serta kapasiti muatan maksimum sebanyak 3,500 tan bagi setiap perjalanan. -PAHANGMEDIA

