Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 FEBRUARI 2026 : Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang menyeru agar semua industri menilai semula tahap pematuhan dan pencapaian keselamatan serta kesihatan pekerja (OSH) melalui pendekatan Stand Down bagi memastikan keadaan tempat kerja selamat.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Encik Ahmad Fauzi bin Awang, Pahang merekodkan sebanyak 56 kes Tidak Hilang Upaya Kekal (THUK), enam kejadian berbahaya serta 35 pelaporan penyakit pekerjaan berdasarkan Scoreboard JKKP Pahang.
“Berdasarkan Scoreboard JKKP Pahang bagi Januari 2026 yang baru sahaja dikeluarkan, kita telah merekodkan 56 kes Tidak Hilang Upaya Kekal (T.H.U.K), enam kejadian berbahaya yang telah direkodkan dan 35 pelaporan penyakit pekerjaan diterima.
“Ketegasan JKKP tidak pernah luntur. Pada Januari lepas sahaja, 41 Notis dan 125 Surat Arahan telah dikeluarkan. Malah, 22 Kes Pendakwaan telah dijalankan dengan nilai denda mencecah RM 88,000.00 dalam masa sebulan.

“Angka-angka ini adalah isyarat jelas bahawa kita perlu melakukan Stand Down berhenti sejenak dan menilai semula strategi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Occupational Safety & Health Stand Down 2026 anjuran bersama Pahang Corporate Management Services Sdn. Bhd. (PCMS) dan OSHMA Sdn. Bhd sekali gus merasmikan majlis tersebut di Zenith Hotel, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan slogan Stop Before Enter bukan sekadar kata-kata ianya merupakan talian hayat dan tujuan utama adalah menanam mentaliti bahawa berhenti sejenak untuk menilai risiko sebelum memulakan kerja adalah satu tindakan berani dan profesional, bukannya membuang masa.
“Slogan Stop Before Enter bukan sekadar kata-kata, tetapi ia adalah talian hayat. Saya menyeru agar para peserta mengambil perhatian serius terhadap sesi ini. Kita mahu menanam mentaliti bahawa berhenti sejenak untuk menilai risiko sebelum memulakan kerja adalah satu tindakan berani dan profesional, bukannya membuang masa.
“Konsep Stand Down ini amat penting, terutamanya apabila kita menyentuh topik Stop Before Enter: Budaya Stand Down Untuk Kerja Confined Space. Kita di JKKP sering kali menekankan isu Ruang Terkurung (Confined Space) kerana statistik kemalangan melibatkan aktiviti ini selalunya membawa maut,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang Corporate Management Services Sdn. Bhd. (PCMS), YH. Dato’ Abd Rahim Ahmad dan Pengarah Urusan OSHMA Sdn Bhd, Ir. Ts. Azlan Mohamad. -PAHANGMEDIA

