Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 08 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan penyertaan belia daripada kaum Cina, India dan Orang Asli dalam pertubuhan belia di negeri ini.
Ia bagi memastikan kelangsungan dan pengaktifan semula persatuan belia di negeri ini yang sebelum ini dikenal pasti tidak aktif atau bermasalah.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha itu digerakkan susulan kebimbangan terhadap laporan Kementerian Belia dan Sukan yang merekodkan sebanyak 4,687 persatuan dan kelab sukan di seluruh negara didapati tidak aktif atau bermasalah bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Katanya, meskipun terdapat pertubuhan belia di Pahang yang sebelum ini berdepan isu tidak aktif, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan semula peranan dan fungsi pertubuhan berkenaan.

“Sudah pasti ada yang sudah tidak aktif dan kebetulan sebenarnya malam tadi saya mengadakan pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan belia dan badan-badan gabungan belia dari seluruh negeri Pahang.
“Saya dah sampaikan mesej bila mana saya baca berita tersebut untuk kita memperkasa penyertaan anak muda dan belia dalam pertubuhan-pertubuhan belia ini.
“Dan dalam perjumpaan tersebut saya dah minta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dan juga Majlis Belia Negeri Pahang untuk sekarang rekrut keahlian belia Cina, belia India dan belia Orang Asli.” katanya selepas merasmikan Program Fun Run Pahang 1st Sport Fiesta di Kompleks Belia dan Sukan Jerantut di sini hari ini, mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambahnya, JBS Negeri Pahang bersama Majlis Belia Negeri telah diarahkan untuk turun padang ke setiap daerah bagi merekrut keahlian baharu daripada tiga kelompok kaum tersebut.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pertubuhan belia bukan sekadar wujud atas nama, sebaliknya benar-benar aktif, mematuhi pelaporan dan diiktiraf sebagai badan yang berfungsi.

“Dan bila yang dah kembali aktif kita nak mereka patuhilah laporan dan sebagainya supaya pertubuhan belia ini aktif dan diiktiraf. Maknanya, tak nak atas nama saja.
“Dan semalam pun kita dah bagi kepada Majlis Belia-belia daerah ni peruntukan setiap belia daerah RM7,000. Badan gabungan pun RM7,000. Ini peruntukan awal tahun. Dia buat program, dia hantar laporan, kita bagi lagi RM7,000 nanti. Jadi, saya tengok dari segi peruntukan kewangan tak ada masalah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa Majlis Belia Daerah yang sebelum ini berstatus tidak aktif seperti di Jerantut dan Cameron Highlands kini telah kembali berfungsi selepas campur tangan kerajaan negeri.
“Tapi semalam saya dah jumpa dah Pengerusi Majlis Belia Daerah Jerantut dan Majlis Belia Daerah Cameron Highlands. Maknanya masalah ini dah selesai.
“Jadi Pahang memang ‘alert’ pada kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan kita dah ambil tindakan. Saya dah tegur tahun lepas,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

