Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 08 FEBRUARI 2026 : Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing telah siap sepenuhnya selepas projek berkenaan diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, projek berkenaan merupakan satu inisiatif penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat setempat.
“Ini merupakan satu projek yang penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Pekan ini merupakan kawasan yang pernah menjadi nadi ekonomi negara melalui aktiviti perlombongan dan hari ini ia bertukar menjadi destinasi perlancongan bersejarah.
“Di sebalik keindahan yang ada disini, wujud satu kebimbangan dikalangan penduduk berkaitan soal keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing sekali gus menyempurnakan majlis tersebut, hari ini.
Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim.
Tambahnya, pembinaan projek ini merupakan salah satu titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang bimbang dengan nasib masyarakat di pekan ini.
“Dikawasan ini ada dua titah yang disampai kepada saya oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, salah satunya adalah pembinaan balai bomba di Sungai Lembing kerana Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang amat prihatin atas nasib masyarakat di pekan Sungai Lembing.

“Itu sebabnya di pekan Sungai Lembing ini Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang adakan dua titah iaitu berkaitan keselamatan iaitu balai bomba dan keagamaan iaitu pembinaan masjid,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan balai bomba ini bukan sekadar sebuah bangunan fizikal, malah menjadi lambang perlindungan kepada keluarga, kesiapsiagaan komuniti serta kehadiran kerajaan dan Raja bersama rakyat.
“Balai bomba ini bukan hanya sebuah bangunan bagi orang Sungai Lembing, ia merupakan suatu lambang perlindungan kepada keluarga, kesiapsiagaan kepada komuniti dan lambang kehadiran kerajaan dan Raja bersama rakyat.
“Bila ada balai bomba, balai polis dan klinik kesihatan meraka akan rasa tenang dan senang kerana pelancong tidak akan datang sekiranya mereka tidak rasa selamat,” katanya. -PAHANGMEDIA

