Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 08 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Pementasan Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang.
Paduka Baginda yang mengenakan busana baju kurung berwarna merah jambu telah berangkat tiba pada 8.59 malam dan disambut oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan.

Turut menyambut keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Pementasan dimulakan dengan alunan muzik dan tarian gamelan, diiringi suara watak Tengku Ampuan Mariam yang mendendangkan lagu Tari Tenun Berurai Emas dan Bahaman Pahlawan Semantan.

Seterusnya, persembahan diteruskan dengan babak Sultan Ahmad bersama para pahlawan Pahang menentang penjajahan British.
Dalam titah Paduka Baginda, rakyat Pahang diseru agar berbangga dengan perlembagaan negeri sendiri serta mempelajari perlembagaan Pahang yang sudah wujud lebih ratusan tahun lalu.

“Jadi saya nak semua di sini, orang Pahang be proud of your constitution. Walaupun pagi ini saya dengar Perdana Menteri kata di sekolah semua kena belajar Sejarah dan belajar Perlembagaan Malaysia, Saya rasa kita orang Pahang belajar perlembagaan kita yang ada wujud lebih pada 400 tahun, Hukum Kanun Pahang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menandatangani plak persembahan Pementasan Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas sebelum berangkat pulang. -PAHANGMEDIA

