Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
JERANTUT, 08 FEBRUARI 2026 : Projek naiktaraf laluan 64 Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 3 Segmen 1 telah siap sepenuhnya dan secara rasmi dibuka kepada orang awam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, kerja naik taraf jalan ini bertujuan untuk menangani isu jalan terputus hubungan di laluan berkenaan, khususnya semasa musim banjir.

“Objektif utama projek lebih tertumpu kepada penyelesaian jangka panjang isu jalan dinaiki air disebabkan banjir. Jadi dengan menaikkan taraf jalan ini ianya dapat menyelesaikan isu terputus hubungan tersebut.
“Skop utama projek ini merangkumi menaik taraf jalan kepada jalan tunggal dua lorong daripada piawaian R3 kepada R5, pembinaan dua buah jambatan baharu, serta membaik pulih tiga buah jambatan sedia ada.
“…dan panjang jalan ini sebanyak 7 kilometer (km) bermula daripada persimpangan Jalan FT83 (Felda Jengka 8) sehinggalah ke Kampung Sungai Kepong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan 64 Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 3 Segmen 1 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan Ismail, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan projek dengan peruntukan bernilai RM102.1 juta yang bermula pada 2021 ini telah berjaya siap sepenuhnya pada 18 November tahun lepas.
“Peruntukan projek ini bernilai RM102.1 juta. Projek ini sebenarnya bermula pada tahun 2021 tetapi siap pada tahun 2025.
“Tender yang asal itu kontraktornya gagal untuk menyiapkan dan kemudian ditamatkan dan membuat lantikan baharu dan alhamdulillah akhirnya projek ini siap sepenuhnya pada 18 November 2025,” katanya. -PAHANGMEDIA

