Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama negara menerusi pelbagai pengisian kebudayaan, komuniti dan pelancongan.
Ini termasuklah penganjuran Sambutan Tahun Baharu Cina di Kuantan 188 bermula dari 6 hingga 8 Februari ini yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan, sektor swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat demi kemajuan bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, Kuantan 188 merupakan antara produk pelancongan strategik negeri Pahang yang berpotensi besar untuk terus merancakkan sektor pelancongan, selari dengan inisiatif Kerajaan Negeri dan persekutuan menjelang Visit Malaysia 2026.
Inisiatif ini bertepatan dengan kempen tahun ini, Visit Malaysia Year 2026 di mana kita berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri, persekutuan, agensi pelancongan, sektor korporat komuniti untuk kita memperkukuhkan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan bukan sahaja untuk pelancongan domestik tetapi antarabangsa.

“Jadi tuan-tuan dan puan-puan, kita tengok kita ada pelbagai kaum pada hari ini. Ini juga adalah satu peluang untuk kita memperkukuhkan semangat perpaduan.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, malah membantu mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan sahaja untuk pelancong domestik tetapi juga antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Kuantan 188, di sini hari ini.
Katanya, keunikan sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia, termasuk tradisi Yee Sang dan penerbitan ratusan lagu perayaan setiap tahun, boleh dimanfaatkan sebagai daya tarikan pelancongan yang membezakan negara ini daripada negara lain seperti China, Taiwan dan Hong Kong.
“Sebenarnya Yee Sang ini adalah satu pengalaman baru kepada mereka sebab budaya Yee Sang ini tidak popular di negara China.
“Jadi sempena Tahun Baru Cina, ada pelancong dari negara China, mereka akan sampai ke Malaysia untuk merasakan pengalaman baru. Jadi ini adalah satu keunikan cara sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia. Popular di Malaysia tapi tidak popular di negara China,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun ini sahaja, lebih 400 lagu baharu Tahun Baharu Cina dihasilkan di Malaysia dan sebahagiannya dieksport ke luar negara untuk digunakan di televisyen, radio dan sekolah, sekali gus membuktikan kekuatan industri kreatif tempatan.
Sementara itu, kemuncak sambutan diserikan dengan kehadiran YB Puan Leong Yu Man yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang sebagai simbol sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap usaha memperkukuh sektor pelancongan dan aktiviti komuniti.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Persembahan Tarian Singa dan Kebudayaan Cina, Pertunjukan Bunga Api, Pameran dan Bengkel Kaligrafi Cina, Bengkel Seni Potongan Kertas Cina, Bengkel Topeng Opera Cina, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak dan Ibu, Pertandingan Kucing di Observation Deck serta Little Prosperity Kids Fashion Show.
Kejayaan penganjuran ini sekali gus mengukuhkan peranan Kuantan 188 sebagai hab pelancongan dan komuniti yang dinamik di Pantai Timur, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Pahang destinasi pelancongan berimpak tinggi sempena Visit Malaysia 2026. -PAHANGMEDIA

