Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kestabilan ekonomi yang dipacu daripada kedudukan politik yang stabil dapat memastikan fokus utama Kerajaan Negeri untuk berkhidmat kepada rakyat dapat dijalankan sepenuhnya.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kestabilan yang dicapai oleh sesebuah negeri juga dapat membantu dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
“Bila kita ada kestabilan politik, kita boleh fokus. Fokus untuk buat kerja kepada rakyat. Kita kurangkan politik ini. Kalau kita ada masalah politik, kita nak membetulkan politik itu pun dah mengambil masa yang banyak.

“Kena explain kepada rakyat, kena cerita kepada rakyat. Jadi masa bila kita nak bagi tumpuan kepada kerja-kerja untuk membantu rakyat, memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jadi bila kestabilan politik itu ada, pemimpin, wakil rakyat, ada masa dan ruang yang banyak untuk memberi tumpuan kepada rakyat.
“Mereka boleh balik kawasan, boleh bincang bagaimana nak bantu rakyat dan sebagainya. Dan kalau tidak ada kestabilan politik, maknanya ada berlaku pertelagahan yang kadang-kadang perlu diberitahu balik kepada rakyat. Sebab sebagai pemerintah, kena menjawab tuduhan, tomahan, dan sebagainya. Jadi fokus itu akan menjadi kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 & 2) Dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3) di Perkarangan PR1MA Pahang Batu 6 hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Dato Bandar Kuantan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim.
Mengulas mengenai tindakan kepada pihak pemaju yang gagal menyiapkan projek pembinaan rumah rakyat di negeri ini, beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan perkara ini.
“Kita akan mengambil tindakan segera. Yang kita ambil tindakan sebabnya kita ada Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang. Di mana kalau sekiranya ada berlaku kelewatan, masalah, dan sebagainya, pihak LPHP akan panggil mereka.
“Kita nak dengar apa planning mereka, apa mitigasi plan mereka dan akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa untuk melihat yang dipengerusikan oleh exco yang berkenaan.
“Kita dengar masalah mereka kadang-kadang mereka kata sebab banjir dan sebagainya, jadi kita tengoklah planning mereka. Dan kita juga ada ambil tindakan ke atas pemaju. Kita tak boleh biarkan sebab ini projek rakyat,” katanya. –PAHANGMEDIA

