Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : “Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar bina rumah untuk yang berpendapatan rendah macam kita,” luah Puan Yusmaini.
Puan Yusmaini Yusoff, 42, dan suami Encik Mohd Fakarudin M. Yusoff, 46, yang merupakan penerima kunci rumah PR1MA Pahang melahirkan rasa gembira setelah menerima kunci rumah yang impian medeka.

“Syukur sangat dan rasa macam gembira sebab lama dah tunggu. Lagipun rumah ini memang dah lama saya inginkan dengan keadaan rumah yang selesa, tanah ada. So syukur sangat-sangat. Terima kasih Kerajaan Negeri.
“Dah lama saya menyewa, 10 tahun. Jadinya kita syukurlah dapat rumah. Terima kasih banyak-banyak, syukur sangat,” katanya yang merancang untuk memasuki rumah baharu pada pertengahan tahun ini.
Sementara itu, bagi pasangan Puan Marazieratui Elyna Zainal, 37, dan Encik Muhammad Arif Mohd Azhar, 35, menyifatkan rumah pertama mereka merupakan rezeki anak.

“Rasa seronok sampai menangis. Dari kecil kita hidup susah, dah besar, dapat rumah sendiri, alhamdulillah. Ini rezeki anak juga.
“Sebelum ini duduk Gambang, rumah sewa dah 5 tahun. Rasa sedih, happy, alhamdulillah. Terima kasih Kerajaan Negeri, terima kasih Tok Wan,” kata pasangan yang bekerja sebagai pemandu lori dan guru ini.
Seramai 86 penerima telah menerima kunci rumah daripada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 & 2) Dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3) di Perkarangan PR1MA Pahang Batu 6 hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Dato Bandar Kuantan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim. -PAHANGMEDIA

