Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Sharizar Adzhar
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam menegakkan syiar Islam di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, memartabatkan agama Islam kekal sebagai agenda utama Kerajaan Negeri Pahang dan pendirian itu tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Saya perlu akui memang agenda Islam di Negeri Pahang ini adalah satu agenda yang diutamakan, tidak boleh kita kompromi dan dibandingkan dengan agenda-agenda yang lain. Memang diutamakan, sentiasa diutamakan dan terus kekal diutamakan.
“Saya menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, serta berbesar hati melihat usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang dalam memartabatkan syiar Islam dan menjunjung kedudukan Al-Quran sebagai tunjang kehidupan serta pedoman utama dalam membina insan, memakmurkan masyarakat dan mentadbir negeri,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Kerajaan Negeri Pahang yang diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersama agensi berkaitan dalam mengembangkan syiar Islam di negeri ini, termasuk merealisasikan pembukaan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri pertama di Cameron Highlands pada awal sesi persekolahan tahun ini.
“Dan usaha ini wajar diteruskan ke peringkat menengah agar anak-anak kita di Cameron Highlands tidak terputus aliran tarbiahnya. Saya juga menyentuh usaha memartabatkan agama ini juga diteruskan melalui pengukuhan Al-Quran di negeri ini dengan mewujudkan Universiti Al-Quran yang pertama di negara ini.
“Dalam hal ini, saya berkenan agar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) diperkenalkan InsyaAllah dengan nama baharu dan penjenamaan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan InsyaAllah saya akan umumkan bila sampai masanya nanti,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda dalam masa sama turut bertitah tentang keperluan memperkemas pengurusan lebih 200 maahad tahfiz di Pahang supaya berada di landasan yang baik, tepat dan tersusun serta ditadbir secara profesional.
“Saya tidak mahu tahfiz-tahfiz ini dikendali oleh mereka-mereka yang kurang arif dari segi ‘management’… pentadbiran dan anak-anak kita yang ada di situ akan terbiar begitu sahaja. Saya harap ini dapat diberi tumpuan,” titah Baginda lagi.
Paduka Baginda turut menyeru seluruh kepimpinan masjid dan surau di negeri ini, yang melibatkan 441 masjid dan 566 surau, supaya memperhebatkan program imarah dan khidmat masyarakat agar institusi masjid terus menjadi pusat pengukuhan ummah.
“Dan menyentuh sedikit tentang Maahad Tahfiz, saya baru saja dimaklumkan oleh pihak Yayasan Pahang, saya bangga menyatakan di sini iaitu Maahad Tahfiz Thurat di Balok telah menunjukkan satu peningkatan yang cukup baik sekali. Dan saya juga turut dimaklum satu lagi Maahad Tahfiz akan dirasmi di Kuala Lipis.. Darul Hadis, InsyaAllah,” titah Paduka Baginda.
Keberangkatan Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Majlis turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

