Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan untuk menjenamakan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan nama baharu iaitu Universiti Al-Quran.
Titah Paduka Baginda, penjenamaan Universiti Al-Quran yang pertama di negara itu merupakan antara usaha memartabatkan agama melalui pengukuhan Al-Quran di negeri ini.
“Dalam hal ini, saya berkenan agar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) diperkenalkan InsyaAllah dengan nama baharu dan penjenamaan ini akan dilaksanakan InsyaAllah saya akan umumkan pada masa akan datang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Keberangkatan Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Majlis turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Titah Paduka Baginda lagi, penjenamaan semula tersebut bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan Al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar Universiti Al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya tidak lama lagi ini bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering, mengalirkan kefahaman Al-Quran ke segenap penjuru, serta melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman. -PAHANGMEDIA

