Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kejayaan dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang buat kali ke-11 bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi bukti istiqamah dan perjalanan panjang Encik Zul-Hasyimi Mohamed Yunus, 47, dalam dunia tilawah sejak lebih dua dekad lalu.
Beliau yang akan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan tahun ini mengakui penglibatannya dalam tilawah bermula seawal 1999 dan diteruskan dengan penuh konsistensi meskipun pernah berehat seketika.
“Tahun 1999 kita menyertai setiap tahunlah. Cuma ada kalanya kita rehat, kita sambung belajar dan kita teruskan balik. Sehinggalah ke hari ini, macam tu lah perjalanan belajar al-Quran dan menyertai tilawah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Beliau yang pernah meraih naib johan peringkat kebangsaan pada tahun 2012 dan 2016 serta tempat ketiga pada 2007, menyifatkan peluang kembali mewakili negeri selepas lapan tahun sebagai satu amanah besar.
“Saya pun dah lapan tahun sejak kali yang terakhir itu, cuma saya berazam untuk tahun ini, sekurang-kurangnya adalah ‘ranking’ di peringkat kebangsaan, insyaAllah. Doakan semoga berjayalah (johan peringkat kebangsaan), insya-Allah,” katanya lagi.

Sementara itu, Johan Qariah, Cik Nurul Saadah Mohammad Zaini, 28, menyifatkan kejayaan menjuarai tilawah peringkat negeri buat kali ini sebagai hasil usaha berterusan sejak kecil serta sokongan guru-guru yang tidak pernah jemu membimbingnya.
“Kalau di peringkat Negeri Pahang ini penyertaan saya kali keenam, alhamdulillah. Untuk kebangsaan kali kedua. InsyaAllah.
“InsyaAllah lah untuk perancangan peringkat kebangsaan ni saya akan tambah baiklah dari sudut bacaan saya dan tambah baik juga usaha untuk memperbaiki bacaan.
“InsyaAllah mungkin saya akan berjumpalah dengan guru-guru, para asatizah yang boleh membantu saya untuk menambah baik bacaan al-Quran saya, insyaAllah,” katanya.
Katanya, beliau tidak meletakkan sasaran kedudukan tertentu di peringkat kebangsaan, sebaliknya lebih menumpukan kepada peningkatan markah dan kualiti bacaan.
Beliau turut berharap generasi muda menjadikan majlis tilawah sebagai platform untuk memperbaiki bacaan al-Quran, bukan semata-mata medan pertandingan.
“Saya harap untuk generasi yang akan datang boleh menanamkanlah sebenarnya minat Ini kita boleh tanam dalam diri kita.
“…dan kita nak jadikan platform majlis tilawah ini jangan semata-mata untuk pertandingan tetapi jadikanlah ia sebagai satu platform supaya kita ada semangat untuk sentiasa tambah baik bacaan kita,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

