Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Majlis berkenaan menyaksikan Encik Zul-Hasyimi Mohamed Yunus dari daerah Bentong dinobatkan sebagai johan Qari kategori tilawah Al-Quran, manakala Cik Nurul Saadah Mohammad Zaini dari Jengka muncul sebagai johan Qariah.

Dalam kategori hafazan Al-Quran 1 hingga 30 juzuk, gelaran johan disandang oleh Encik Thaqif Uzair Amiruddin dari Jerantut bagi kategori lelaki, sementara Cik Nurul Nadzirah Shafiee dari Pekan menjuarai kategori perempuan.
Sementara itu, bagi kategori hafazan 1 hingga 20 juzuk, Encik Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Kuantan dinobatkan sebagai johan lelaki, manakala Cik Najwa Sakinah Mohd Shaikhudin, juga dari Kuantan, muncul sebagai johan perempuan.
Bagi kategori hafazan 1 hingga 10 juzuk pula, Encik Muhammad Ikhwan Lukman dari Kuantan dinobatkan sebagai johan lelaki, manakala Cik Nur Asiah Maisarah Abu Bakar dari Kuantan muncul sebagai johan perempuan.
Bagi penganjuran kali ini, seramai 41 peserta dari seluruh negeri ini telah meyertai pertandingan terbabit dengan 26 darinya dalam kategori hafazan dan selebihnya dalam kategori tilawah. -PAHANGMEDIA

