Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 1 FEBRUARI 2026 : Lebih 2,000 orang peserta membanjiri Dataran Pekan Sehari Dong, di sini bagi memeriahkan Program Jom Briskwalk Bersama YB Fadzli sejauh lima kilometer, hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program berkenaan merupakan penganjuran julung kali diadakan secara besar-besaran dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang atau kaum.

“Lebih 2,000 orang mengambil bahagian tanpa mengira lapisan umur, latar belakang dan warna kulit. Masing-masing mengambil peluang menyertai program yang julung kali diadakan ini,” katanya.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti fizikal.

“Semasa saya menziarahi rumah-rumah di kawasan Dong, saya mendapati ramai penduduk kurang sihat. Jadi saya ingin mengajak mereka keluar berpeluh melalui aktiviti briskwalk sebagai amalan gaya hidup sihat,” jelas beliau.
YB Tuan Fadzli berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Briskwalk Bersama YB Fadzli 2026 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bangga apabila dua peserta warga emas, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 78 tahun, berjaya menamatkan aktiviti briskwalk sejauh lima kilometer tersebut.
“Saya sendiri terkejut. Kedua-duanya berusia 78 tahun dan berjaya menghabiskan jarak 5 kilometer. Ia satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program seumpama ini akan diperluaskan ke seluruh negeri Pahang sebagai usaha berterusan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan.— PAHANGMEDIA

