Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 01 FEBRUARI 2026 : Program Neon Night Walk akan diteruskan di seluruh kawasan parlimen di seluruh negeri ini bagi mendekati golongan muda secara lebih santai melalui aktiviti sihat.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program seumpama ini juga memberi peluang kepada golongan muda membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Program ni kita akan adakan di seluruh Parlimen, di Negeri Pahang ada sebanyak 14 Parlimen. Ini sangat baik kerana kita dapat mendekati anak muda.
“Dan program seumpama ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menimbulkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Neon Night Walk Rumpun Makmur 2026 Anjuran Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) Parlimen Kuala Krau di Dewan Terbuka Rumpun Makmur, Kuala Krau.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Penyelaras Dewan Undangan (DN) Jengka, YH Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said.

Beliau turut berpuas hati dengan kehadiran peserta Neon Night Walk Rumpun Makmur 2026 yang dihadiri lebih 1,000 penduduk setempat dan melahirkan penghargaan kepada pada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di atas penganjuran program ini.
“Di Rumpun Makmur iaitu Neon Night Walk bersama dengan penduduk setempat khusus bersama anak muda. Alhamdulillah kehadiran ada 1,000 orang lebih.
“Saya ucapkan tanya pada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Parlimen Kuala Krau yang berjaya mengadakan program ini,” katanya.
Beliau sebelum itu menghadiri Program Mesra Masjid Bersama- sama YAB Menteri Besar Pahang di Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya bersama-sama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menunaikan solat jemaah Maghrib dan Isyak serta mendengar tazkirah bersama para jemaah yang hadir. -PAHANGMEDIA

