KUANTAN, 1 FEBRUARI 2026 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini melepaskan Konvoi Bot Aspirasi Pahang 1st di Esplanade Temerloh, sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan semangat kenegerian dalam kalangan rakyat negeri ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata konvoi ini merupakan satu inisiatif bermakna dalam usaha memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat kenegerian, serta memperkukuh identiti rakyat Negeri Pahang melalui aktiviti secara komuniti di Sungai Pahang.

“Lebih daripada sekadar sebuah konvoi, program ini membawa simbolik yang besar apabila menyusuri Sungai Pahang, nadi utama negeri suatu ketika dahulu yang menjadi laluan perhubungan dan penyatuan masyarakat di sepanjang jajaran sungai ini,” katanya.
Konvoi Bot Aspirasi Pahang 1st bermula dari Kuala Krau dan dijadualkan berakhir di Chenor, melibatkan beberapa singgahan di penempatan sepanjang sungai bagi mendekati masyarakat setempat.

Program itu turut dilihat sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan kepimpinan negeri, selain mengangkat warisan negeri serta menyemai rasa bangga menjadi anak Pahang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran konvoi tersebut dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan dan perpaduan rakyat Pahang.-PAHANGMEDIA

