Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 JANUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan kebimbangan berkenaan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan di negara ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah perkara ini merupakan lambang kepercayaan tertinggi negara kepada individu.
“Dalam menyentuh perihal kedaulatan negara, ada beberapa isu perlu dilihat dan membimbangkan, antaranya adalah berkaitan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan. Ini bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan, serta maruah sebuah bangsa yang berdaulat.

“Ketahuilah bahawa kewarganegaraan bukan sekeping dokumen dan bukan sekadar pengiktirafan undang-undang. Ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan tanah air. Malah janji untuk mempertahankan maruah bangsa, serta kedaulatan negara ini hingga ke titisan nafas yang terakhir.
“Pemberian taraf kewarganegaraan dan penduduk tetap bukanlah urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa. Ia bukan gajaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa, dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan. Ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika Titah DiRaja pada Wacana Belia DiRaja 2026 di Hotel Zentih.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak bertanggungjawab bahawa ketegasan dalam menjalankan tugas adalah benteng kedaulatan negara dan bukanlah kezaliman.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman, tetapi benteng kedaulatan negara.
“Jika pintu kerakyatan di buka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat, dan lunturlah maruah negara di mata dunia. Nilai sesebuah negara tidak diukur dengan ramainya warga tetapi dengan teguhnya jiwa mereka yang bergelar rakyat.
“Kedaulatan tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik, atau keuntungan sementara. Maruah bangsa bukan untuk dijual, dan kedaulatan negara bukan untuk digadai,” titah baginda.
Dalam majlis berkenaan Kebawah Duli Paduka Baginda turut mengingatkan belia supaya menjaga kedaulatan negara melalui kesetiaan kepada raja dan negara, menjaga integriti dan maruah; serta menjaga diri daripada ancaman masalah sosial.

“Sesungguhnya kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional. Tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadapan, dan keberanian berubah menjadi keangkuhan. Dengan kesetiaan yang beradab, negara akan terus aman, dengan kesetiaan yang berilmu, masa depan bangsa akan terus terpelihara.
“Ketahuiah, rasuah bukan kesalahan kecil. Ia adalah pengkhianatan kepada negara. Penyalahgunaan kuasa bukan kelemahan manusia biasa, ia adalah kejahatan berjawatan. Apabila undang-undang dipermainkan oleh mereka yang sepatutnya menegakkannya, maka negara sedang dipimpin ke jurang kehancuran.
“Beliau hari ini perlu memahami bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada populariti, bukan pada jumlah pengikut di media sosial, dan bukan pada gaya hidup yang dipamerkan. Kekuatan sebenar terletak pada keupayaan menahan diri ketika digoda, berpegang pada prinsip ketika diuji, dan memilih jalan yang benar walaupun ia sunyi dan payah,” titah baginda.
Hadir sama, wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin. -PAHANGMEDIA

