Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 26 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) akan meneruskan peganjuran Cabaran Mara Lasak Pahang bagi tahun ini dengan memilih Chini sebagai lokasi seterusnya.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata penganjuran acara berkenaan dijangka akan berlangsung sekitar April atau Mei nanti.
“Jadi, cabaran Mara Lasak Pahang ini diteruskan tahun ini cuma kali ini di Chini. Ini adalah bagi menjunjung titah Tuanku Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar cabaran Mara Lasak ini diadakan di setiap daerah di negeri Pahang itu sendiri bagi memupuk semangat berjiwa kental dan jati diri serta tahan lasak di kalangan anak-anak Pahang khususnya orang muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Ekspedisi Rakit Fighter 2.0 Anak Muda Pahang di Dataran Eco Kampung Tanjung Gahai, di sini selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambahnya, Cabaran Mara Lasak Pahang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah menuntut ketahanan mental dan semangat setiakawan.
“Tahun lalu kita buat di Ulu Dong, Raub. Kali ini di Chini, di mana setiap peserta akan melalui laluan sukar sejauh 15 kilometer membawa bebanan lima kilogram setiap seorang.
“Dan dalam Cabaran Mara Lasak ini, mereka akan melalui denai, sungai, bukit yang sudah pasti mencabar mental dan fizikal sebab terpaksa bawa bebanan seberat lima kilogram.
“Dan mereka tak boleh tinggalkan ahli kumpulan. Kalau ada 10 orang, kalau dia habis sembilan orang, dia dikira disqualified (hilang kelayakan). Dia kena bersama-sama dengan 10 orang peserta dalam kumpulan dia,” ujarnya.
Beliau justeru itu mempelawa golongan belia khususnya anak muda Pahang untuk menyahut cabaran menyertai Cabaran Mara Lasak Pahang tahun ini nanti.
“Jadi, saya nak ajak orang-orang muda khususnya, dia ada beberapa kategori cuma orang muda kena sahut untuk menyertai cabaran Mara Lasak Pahang 2026 di Chini, insyaAllah antara bulan April atau Mei tahun ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

