Oleh : Norhafizan Zilkfili
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 JANUARI 2026 : Penganjuran Ekspedisi Rakit Fighter 2.0 Anak Muda Pahang menjadi signal jelas bahawa aktiviti lasak semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata Kerajaan Negeri memandang serius usaha memperkasa golongan belia melalui penganjuran aktiviti rekreasi dan lasak seumpama itu.
Beliau justeru itu meminta agar penganjuran ekspedisi sedemikian dapat dijadikan sebagai acara tahunan.

“Ini adalah satu signal yang baik di mana aktiviti rekreasi dan lasak seperti ini mula mendapat tempat di hati anak muda hingga menggalakkan penyertaan mereka.
“Dan saya minta pihak urus setia supaya melaksanakan program ni secara tahunan. Maknanya, setiap tahun dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup ekspedisi berkenaan bertempat di Dataran Eco Kampung Tanjung Gahai, di sini hari ini.
Sebanyak 40 buah rakit dengan penyertaan seramai 200 peserta dari seluruh negeri ini termasuk Kuantan, Pekan dan beberapa daerah lain terdiri dari pelbagai peringkat umur menyertai ekspedisi yang bermula sekitar jam 9 pagi tadi.

“Kerajaan Negeri Pahang sedia bantu dan untuk penganjuran kali ini pun memang Kerajaan Negeri Pahang ada bantulah dari segi kewangan.
“Jadi, harap penganjuran akan datang lebih ramai lagi penyertaan daripada seluruh negeri Pahang,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pihak urus setia atas penganjuran program terbabit yang dilihat memberi manfaat besar kepada setiap peserta khususnya.

“Yang pertama, kita nak menggalakkan gaya hidup sihat sebab melalui aktiviti berakit tadi, sekurang-kurangnya kita mengayuh lebih lima jam daripada Kampung Lanchang Betau sampai ke Kampung Tanjung Gahai ini. Saya ingat satu jarak yang cukup jauh.
“Yang kedua, kita nak mensyukuri nikmat serta kelebihan yang Allah SWT bagi khususnya khazanah alam dan ekosistem sungai yang cukup indah di Jelai ini.
“Yang ketiga, kita nak memupuk kesedaran khususnya di kalangan orang muda supaya memelihara sungai dan ekosistemnya supaya dapat diwariskan pada generasi yang akan datang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

