KUANTAN, 24 JANUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menangguhkan perjalanan Baginda bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), berhampiran susur keluar tol Temerloh, semalam.
Dalam kejadian tersebut, Paduka Baginda yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah terlihat satu kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta.

Prihatin terhadap keadaan mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan, Paduka Baginda menitahkan agar kereta polis pengiring segera membawa mangsa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Paduka Baginda turut berkenan turun dari kenderaan bagi melihat sendiri keadaan mangsa serta bertanya mengenai situasi kemalangan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan.
Keprihatinan Baginda itu mencerminkan sifat kepedulian dan keprihatinan Sultan Pahang terhadap kebajikan rakyat jelata.-PAHANGMEDIA
Kredit -KESULTANAN PAHANG

