Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meletakkan agenda pembangunan belia dan anak muda sebagai keutamaan tertinggi Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang merupakan wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang berkata ia dapat dilihat menerusi Belanjawan Pahang 2026.
“Menerusi Belanjawan Pahang 2026, Kerajaan Negeri telah menzahirkan komitmen yang jelas dan menyeluruh terhadap pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif, strategi.
“Dan melalui inisiatif ini, keseluruhan peruntukan yang dibelanjakan insyaAllah pada tahun ini melibatkan jumlah lebih RM50 juta yang merupakan satu pelaburan besar dan menyeluruh merentasi setiap segmen belia dan anak muda di Negeri Pahang.

“Ia merangkumi aspek pendidikan, pembangunan kemahiran, keboleh pasaran kerja, kepimpinan, sukan, kesejahteraan sosial, serta kestabilan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Kali Ke-74 di Hotel Zenith.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB. Tuan Mordi anak Bimol; dan Presiden Majlis Belia Malaysia, YBrs. Mohd Izzat Afifi Dato’ Abdul Hamid.
Tambah beliau, belia merupakan aset terpenting bagi negeri ini yang perlu diberi perhatian secara serius tidak berbelah bahagi memandangkan mereka merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan.
“Khusus untuk Majlis Belia Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan lebih RM1 juta untuk mereka. Ini tak masuk keputusan khas daripada saya dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.

“Dan untuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang khusus untuk program-program belia, Kerajaan Negeri akan membelanjakan hampir RM3 juta, menjadikan keseluruhan khusus untuk dua entiti ini adalah RM4 juta.
“Apa yang saya sebutkan tadi menggambarkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri Pahang terhadap pembangunan belia di bumi Pahang ini kerana bagi kami, belia adalah aset terpenting negeri ini yang perlu dilihat secara serius dan diberi perhatian yang tidak berbelah bahagi. Sungguhnya belia yang diperkasa hari ini merupakan pemimpin yang akan menerajui negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut melahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama bagi memastikan agenda pembangunan belia di negeri dan negara terus relevan.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan Majlis Belia Malaysia serta seluruh kepimpinan yang ada bagi memastikan agenda pembangunan belia terus relevan, inklusif, dan berdaya maju,” katanya. -PAHANGMEDIA

