Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Kerajaan melaksanakan pendekatan baharu dengan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika mereka masih berada di pusat pemindahan.
YAB. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini kerajaan menggunakan pendekatan di mana mangsa banjir hanya menerima BWI selepas PPS dikosongkan.
Katanya, inisiatif menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bertujuan meringankan beban ketua keluarga sebaik sahaja mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Maka apabila mereka pulang ke rumah masing-masing, wang bantuan itu diharap akan dapat meringankan bebanan keluarga dengan mencuci rumah, memperbaiki peralatan dan juga mungkin boleh membantu untuk membeli peralatan-peralatan baru yang rosak,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini hari ini.
Lawatan berkenaan turut disertai YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Mallaysia, YB. Puan Fadlina Sidek; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan barisan ketua-ketua jabatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu lagi, sebelum ini mangsa hanya menerima bantuan berkenaan tiga hari selepas PPS ditutup, namun kaedah baharu itu dilihat lebih praktikal dan mesra rakyat.

Katanya lagi, setakat ini kira-kira 77 peratus bayaran BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara telah diselesaikan, manakala baki 23 peratus lagi akan dilunaskan secara berperingkat.
“Kita telah menyediakan satu piawaian baru di mana bantuan-bantuan ini kita salurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan senarai nama itu kita kemukakan kepada cawangan-cawangan BSN untuk tuntutan wang-wang berkenaan.
“Mana-mana yang tidak mempunyai akaun BSN, mereka juga boleh datang menuju ke kaunter-kaunter pembayaran di mana-mana cawangan BSN yang berdekatan dengan kawasan banjir berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, langkah mempercepatkan penyaluran bantuan itu selaras dengan keprihatinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan mangsa banjir di seluruh negara.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan jangkaan gelombang kedua hujan lebat yang lebih teruk berbanding sebelum ini.-PAHANGMEDIA

