Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Selepas tiga tahun rumah tidak dinaiki air banjir, seorang mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini, tidak menyangka akan berpindah ke PPS pada musim banjir kali ini.
Mangsa seorang warga emas kelainan upaya (OKU), Puan Sabariah Man, 63, berkata, meskipun begitu, dia melihat kemudahan yang disediakan di PPS pada kali ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
“Banjir, banyak tahun juga tak banjir. Masa dulu masa makcik duduk sini (Kampung Belukar), acaplah banjir juga. Tapi tiga tahun yang sudah tak banjir. Sekarang ini ada banjir semula.

“Kemudahan dia kalau ikut baik sekarang inilah daripada dulu kan. Dulu kita tak dapat apa masa pindah rumah, nak ada duit. Kewangan pun tak dapat kan. Tapi masa sekarang ni kewangan pun dapatlah.
“Alhamdulillahlah, dibantulah mana yang kita kata orang perabot habis, TV pun punah semua barang-barang dalam rumah rosak kan. Jadi kerajaan ganti balik, alhamdulillahlah,” katanya yang menetap di Kampung Belukar, di sini.
Bercerita lanjut, Puan Sabariah yang menghidap kencing manis dan telah menjalani pembedahan pemotongan kedua-dua belah kaki itu juga memaklumkan, dia dibawa oleh anaknya menaiki kereta selepas paras air meningkat secara mendadak.
“Makcik datang sini anak bawa. Dah naik air dah. Anak angkat masuk dalam kereta,” ujarnya.

Sementara itu, Puan Norfadilah Hussin, 42, dari Taman Guru menyifatkan pengurusan PPS kali ini lebih tersusun dan selesa berbanding kali terakhir dia dipindahkan kerana banjir sekitar lebih 10 tahun lalu.
“(Kemudahan) alhamdulillah ‘okay’, makanan semua cukup.
“Kami tiga keluarga. Kami dapat dua khemah untuk tiga keluarga. Alhamdulillah cukup (muat),” katanya.
Bercerita tentang kejadian banjir yang melanda sekitar jam 7 pagi semalam, dia bersama ahli keluarganya terpaksa berjalan kaki meredah air banjir separas lutut untuk ke PPS.
“Pukul 7 lebih (pagi) air ‘start’ masuk rumah. Banyak tak sempat (selamatkan barang). Yang mana itu alih la sedikit-sedikit,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

