Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dilaksanakan melalui pelantikan kontraktor berlesen yang diselaraskan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata langkah itu dibuat kerana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) hanya terpakai di kawasan yang telah diwartakan di bawah kerajaan tempatan.
“Bagi kawasan di luar bidang kuasa operasi pihak berkuasa tempatan seperti kawasan FELDA, kawasan FELCRA, kawasan kampung tradisional, kawasan tanah rancangan ataupun kawasan yang belum diwartakan, SWCopr boleh membantu untuk memudahcarakan perlantikan operator pembersihan daripada senarai-senarai kontraktor yang berlesen dengan SWCorp,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Lanchang, YB Tuan Hasan Omar, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambahnya, sebagai contoh, FELDA Lepar Hilir telah melantik BUJ Technology Enterprise Sdn. Bhd., manakala FELCRA Sri Makmur menggunakan PT Waste Recycling Industry.
“Ini semua untuk memudahkan supaya pada masa akan datang, untuk kita menggunakan ‘waste-to-energy’,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

