Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri terus komited memperkasa program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) sebagai inisiatif membantu pasangan muda memulakan kehidupan berumahtangga secara tersusun dan sejahtera melalui beberapa penambahbaikan komponen baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, berkata penambahbaikan itu sedang dilaksanakan bagi memastikan program berkenaan kekal relevan dan memberi manfaat optimum kepada golongan sasaran.
“Program ini sedang diperbaharui dengan beberapa komponen sokongan baharu bagi memperkukuhkan lagi keberkesanannya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abd Aziz Haji Mat Kiram, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, antara komponen baharu yang diperkenalkan termasuk bimbingan kewangan, hasil kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Modul ini merangkumi perancangan bajet untuk pasangan muda, pengurusan komitmen kewangan seperti hutang dan juga perbelanjaan harian, celik kewangan untuk memberi pasangan pemahaman yang lebih mendalam mengenai pengurusan kewangan dalam kehidupan rumah tangga,” ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan penyediaan kaunseling praperkahwinan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), yang diwajibkan kepada pasangan sebelum mendirikan rumah tangga.
“Kaunseling ini akan meliputi komunikasi berkesan antara pasangan, pengurusan konflik dalam rumah tangga dan juga, sebenarnya kaunseling praperkahwinan ini telah kita adakan semenjak kita memulakan program Anggun Suri ini,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga menyediakan kursus keibubapaan asas yang diadakan selepas majlis perkahwinan melalui sesi susulan di peringkat daerah.
“Kursus ini akan merangkumi peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga yang sejahtera, penjagaan bayi dan juga perkembangan awal kanak-kanak dan juga sokongan kesihatan keluarga seperti penjagaan ibu mengandung, ibu bersalin dan juga pemakanan sihat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, program Anggun Suri bukan sekadar penganjuran majlis perkahwinan bersar-besaran semata-mata, sebaliknya platform komprehensif bagi membina institusi keluarga yang lebih stabil.
“Dengan penambahbaikan ini kerajaan yakin bahawa pasangan muda akan bersedia secara mental, emosi dan kewangan untuk menghadapi cabaran dalam sesebuah rumah tangga,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

