Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Prestasi kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Pahang menunjukkan pemulihan kukuh apabila merekodkan keuntungan kumulatif sebanyak RM2.3 bilion daripada tahun 2015 hingga 2024.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, meskipun terdapat kerugian ketara pada awal tempoh berkenaan, prestasi GLC kini kembali stabil hasil intervensi Kerajaan Negeri, penstrukturan semula syarikat serta pemulihan ekonomi pasca pandemik.
Mengulas lanjut, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang pernah merekodkan kerugian RM43 juta pada 2016 hingga 2017 kini berjaya mencatat keuntungan kumulatif RM254.7 juta antara 2018 hingga 2024 selain mengekalkan status tanpa hutang.
“Yayasan Pahang kekal kukuh dengan keuntungan RM873 juta pada tahun 2016 hingga 2024 manakala Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang ataupun PKPP mencatat keuntungan RM1.2 bilion bagi tempoh yang sama,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya lagi, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) mencatat kerugian kumulatif RM623.5 juta antara 2017 hingga 2022, namun kembali mencatat keuntungan sebanyak RM44 juta pada 2023 hingga 2024 selepas langkah pemulihan dilaksanakan.
“Keuntungan PSK ini telah mengambil kira sumbangan tahunan kepada Kerajaan Negeri daripada tahun 2017 hingga 2024 sebanyak RM646.8 juta,” ujarnya.
Sementara itu katanya lagi, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang mengalami kerugian besar RM618.3 juta pada 2018 hingga 2022 kini kembali mencatat keuntungan kumulatif RM269 juta dalam tempoh 2023 hingga 2024.
“Kerajaan Negeri melaksanakan pemantauan berdasarkan sektor, mewajibkan laporan berkala CEO serta pelaksanaan pelan pemulihan bagi syarikat yang merekodkan kerugian.
“Langkah ini bagi memastikan tindakan penambahbaikan dibuat secara teratur, berfokus dan dipantau rapi. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri sangat optimis bahawa momentum peningkatan ini akan terus mengukuhkan peranan GLC sebagai pemacu ekonomi Pahang,” katanya lagi.
Menjawab soalan tambahan ADUN Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba, beliau berkata penubuhan beberapa anak syarikat baharu sejak 2018 telah mewujudkan hampir 6,000 peluang pekerjaan dalam negeri.
“Kerajaan Negeri telah menubuhkan banyak anak syarikat. Pahang Mining Corporation (PMC), Perbadanan Kemajuan Cameron Highland (PKCH), Pahang Water and Energy Resouces Sdn Bhd, Pahang Corp, PahangGo dan banyak lagi.
“Hasil daripada itu, yang pertama sekali, peluang pekerjaan. Kita telah mewujudkan lebih kurang, 6,000 peluang pekerjaan akibat daripada penubuhan anak-anak syarikat ini,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

