Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang sentiasa komited terhadap usaha mengkomersialkan produk usahawan kecil dan industri desa bagi meningkatkan keupayaan pemasaran serta daya saing produk tempatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, pelbagai inisiatif yang dilakukan melalui kerjasama agensi negeri dan persekutuan.
“Antara langkah utama yang telah dan sedang diambil termasuk kerjasama dengan SIRIM dalam melaksanakan Program SIRIM Technopreneurship Programme (STeP) bagi membantu usahawan, khususnya usahawan kecil, meningkatkan kualiti produk, menambah baik reka bentuk pembungkusan serta memenuhi piawaian pensijilan Halal.
“Penyertaan usahawan dalam pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) peringkat Wilayah Borneo, Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Wilayah Timur turut digalakkan bagi mempromosikan produk berasaskan industri tempatan serta membuka peluang pasaran baharu.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai usaha termasuk pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) halal dan eksport halal; Kerjasama strategik bersama Halal Development Corporation (HDC); Perumusan Dasar Negeri Industri Halal; dan Penyediaan tapak pelaburan halal seperti Gambang Halal Hub, Gebeng Halal Hub dan Bentong Halal Hub,” katanya.
Tambahnya, Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) menyediakan pembiayaan khusus kepada usahawan kecil dan industri desa bagi memperkukuh kapasiti perniagaan dan keupayaan pemasaran.
“Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan pembiayaan khusus kepada usahawan kecil dan industri desa bagi mengukuhkan kapasiti perniagaan dan keupayaan pemasaran.
“Melalui sokongan modal yang disediakan, SPED membantu mempercepatkan pengkomersialan produk tempatan agar lebih kompetitif dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
“Penubuhan sekretariat seperti Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Pahang (MPIHNP) yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk menyelaras dasar, pelaksanaan dan sokongan terhadap produk tempatan termasuk produk halal agar industri kecil dan desa dapat dikomersialkan secara sistematik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi turut melaksanakan pelbagai program latihan, pembangunan kapasiti dan bimbingan keusahawanan bagi menarik minat belia di bidang perniagaan.
“Usaha menarik minat belia ke bidang perniagaan, Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi turut melaksanakan program latihan, pembangunan kapasiti dan bimbingan keusahawanan secara berterusan antaranya Pahang Skills Development Centre (PSDC), SME Corp. Pahang, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.
“Selain daripada itu, banyak program-program ini bersekitar untuk membangunkan usahawan-usahawan belia yang ingin menceburi peluang dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

