Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri akan memperkenalkan program Moh! Rumah Untuk Belia Pahang awal tahun hadapan sebagai usaha memperluas agenda pemerkasaan belia melalui penyediaan keperluan asas dan kesejahteraan jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi memberi peluang kepada anak muda memiliki rumah pertama melalui Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) Belia Pahang.
Katanya, SPNB menawarkan rumah berharga RM75,000, namun setiap pemohon bakal menerima subsidi RM20,000, menjadikan harga akhir yang perlu ditanggung hanya RM55,000 tidak termasuk yuran pengurusan dan insurans.
“Pinjaman RMR daripada SPNB ini tidak dikenakan sebarang kadar faedah. Kadar bayarannya pula adalah pada kadar mampu iaitu RM 300 sebulan,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam sesi berkenaan beliau turut memaklumkan seramai 78 atlet Pahang telah terpilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA di Thailand yang sedang berlangsung kini.
“Penyertaan 78 orang atlet ini adalah jumlah teramai yang pernah dicatatkan oleh Pahang dalam mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa setakat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh status projek naik taraf dan pembinaan baharu Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (KOMBES), beliau berkata setakat 8 Disember lalu, kemajuan keseluruhan mencapai 97 peratus, iaitu lewat tiga peratus daripada jadual asal yang sepatutnya siap pada 30 Oktober 2025.
Kelewatan itu, jelasnya, berpunca daripada peningkatan harga bahan pasca pandemik COVID-19 terutamanya melibatkan peralatan audio visual (AV) serta bahan mekanikal dan elektrikal, selain isu teknikal berkaitan kerja utiliti bawah tanah yang memerlukan kelulusan agensi berkaitan.
“Sebagai contoh, penemuan paip asing di kawasan sambungan dengan saluran paip utama dalam kawasan projek telah menyebabkan penambahan masa bagi penyelarasan teknikal,” katanya lagi.
Tambahnya, kontraktor terlibat telah dikenakan denda RM3,658.45 sehari kerana gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan, manakala baki kerja kini hanya melibatkan kerja akhir (finishing).
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapat perkembangan projek KOMBES melalui mesyuarat pemantauan mingguan yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan lawatan kerja ke tapak projek.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026 dan seterusnya dapat digunakan pada suku kedua tahun 2026 selepas memperoleh penarafan Certificate of Completion and Compliance (CCC),” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

