Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Aplikasi PahangGo berjaya meraih kutipan hasil transaksi sebanyak RM28.57 juta untuk tempoh Januari hingga 30 November lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pertumbuhan transaksi turut meningkat sebanyak 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Setakat ini, pengguna berdaftarnya adalah 640,000 orang, pertambahan transaksi itu berlaku secara signifikan iaitu meningkat 5.9 peratus dalam tempoh Januari sehingga November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Dari Januari hingga 30 November 2025, hasil kutipan melalui transaksi aplikasi PahangGo mencecah RM28,570,401,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, YB Tuan Haji Mohd Tarmizi Yahaya pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata aplikasi PahangGo turut bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam menyampaikan maklumat negeri ini.
“Berkenaan perkembangan terkini aplikasi PahangGo dalam menyampaikan maklumat negeri dengan kerjasama NADI, saya ingin memaklumkan bahawa melalui perjumpaan saya bersama Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil pada 20 Mac lalu, kita bersetuju untuk memperkukuh kerjasama antara PahangGo dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau NADI di seluruh negeri Pahang.
“PahangGo juga sedia menyediakan ruang untuk membuka pameran atau sesi “meet-and-greet” pelanggan di pusat-pusat NADI apabila terdapat acara bersama masyarakat.
“Melalui program turun padang seperti ini, masyarakat umum dapat membuat aduan secara terus kepada pihak PahangGo, sambil diperkasa dengan ilmu celik digital,” katanya. -PAHANGMEDIA

