Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.52 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan bagi tujuan penjimatan di musim perayaan utama.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang, program tersebut dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menjelang musim perayaan utama.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2.52 juta pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, RM600,000 telah digunakan untuk pelaksanaan Jualan Makmur sempena Tahun Baru Cina di 18 lokasi terpilih, manakala RM1.1 juta digunakan bagi pelaksanaan Jualan Makmur Hari Raya Aidilfitri melibatkan 26 lokasi di 11 daerah.
“Baki peruntukan sebanyak RM820,000 pula diagihkan sama rata kepada dua perayaan utama lain iaitu Deepavali dan Krismas,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan Program Jualan RAHMAH MADANI turut dilaksanakan secara bertema bagi mengurangkan kos sara hidup pada tempoh yang tertentu.
“Program Jualan RAHMAH MADANI ini juga turut dilaksanakan secara bertema bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat pada tempoh tertentu. Sebagai contoh, bermula 18 Disember 2025 sehingga Januari 2026, Program Jualan RAHMAH MADANI dengan tema ‘Kembali ke Sekolah’ (Back to School) akan dilaksanakan di premis-premis terpilih di seluruh negeri Pahang bagi memastikan ibu bapa dapat membeli kelengkapan sekolah anak-anak dengan harga yang jauh lebih murah.
“Dalam minggu yang sama, 18 hingga 27 Disember 2025, Program Jualan RAHMAH MADANI bertemakan Hari Krismas juga akan dilangsungkan di beberapa premis terpilih bagi memberikan peluang rakyat Pahang membuat persediaan membeli barang keperluan untuk menyambut Hari Krismas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik, YB Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

