Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 8 DISEMBER 2025 : Pencapaian eksport Negeri Pahang di peringkat antarabangsa menunjukkan pertumbuhan positif apabila mencatatkan kira-kira 1.5 peratus daripada jumlah eksport negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, jumlah eksport antarabangsa Pahang setakat September 2025 mencatat RM17.8 bilion daripada jumlah eksport Malaysia sebanyak RM1.17 trilion.
“Untuk tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2025, jumlah eksport antrabangsa Pahang sebanyak RM17.8 bilion ataupun 1.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia yang berjumlah RM1.17 trilion pada tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Talam pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah pengeksportan Pahang ke Amerika Syarikat pada tahun ini adalah sebanyak RM725 juta berbanding RM690.9 juta pada tahun lepas.
“Untuk tempoh Januari hingga September 2025, Malaysia mencatat jumlah eksport yang bernilai RM166.3 bilion. Dalam tempoh sembilan bulan yang sama, jumlah eksport Pahang ke Amerika Syarikat RM725 juta ataupun 0.5 peratus daripada jumlah eksport negara ke Amerika Syarikat.
“Pada tahun 2024, jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat bernilai RM198.9 bilion. Dari jumlah ini eksport Pahang ke US sebanyak RM690.9 juta bersamaan 0.3 peratus daripada jumlah eksport ke US,” katanya. – PAHANGMEDIA

