Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : “Setiap satu sen perbelanjaan yang kita buat ini telah pun diiktiraf dan diluluskan oleh Bahagian Kewangan Perbendaharaan Negeri dan dipersetujui oleh Akauntan Negara,” itu tegas YAB. Menteri Besar Pahang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebimbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan kedudukan kewangan Negeri Pahang berada pada tahap membimbangkan adalah tidak berasas.
“Untuk makluman YB Cheka, kita di Pahang ini ada RM500 juta reserve bermula pada 2018. Jadi kalau boleh saya nak tahu sumber mana yang YB ADUN Cheka cakap yang bimbang itulah, semakin berkurangan, duit tak ada, dan sebagainya.
“Setakat setelah lapan tahun takdir Allah saya menjadi Menteri Besar, setakat ini kita tak pernah nak bayar gaji pun tak boleh. Semuanya kita berjalan dengan lancar.
“Apa yang kita buat, yang kita bentangkan dalam bajet, semuanya kita buat. Boleh tak tunjuk kepada saya ada tak yang pemberian kepada anak-anak kita yang belajar di IPTA sebanyak RM400 secara one-off kita tak bayar sebab kita tak ada duit. Tak pernah berlaku pun. Jadi tiba-tiba pada kali ini pula dibangkitkan kebimbangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga menerima pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara apabila Penyata Kewangan Tahun 2024 diberi Pendapat Tanpa Teguran.
“Negeri Pahang ini mendapat teguran audit tanpa teguran, bermakna semua yang kita buat itu berjalan dengan baik.
“Bahasa mudahnya setiap sen in and out, debit, kredit, prabaya, terakru, semuanya berjalan dengan baik dan tidak ada satu benda pun yang nampak kita menyorok sesuatu.
“Jadi kalau dah Ketua Audit Negara, kalau kita dah lebih dari Ketua Audit Negara tak tahulah pula. Tetapi saya ingat lebih baik YB Cheka melihat dululah (fakta),” katanya.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim untuk lebih peka serta membuat rujukan terhadap sesuatu isu yang ingin dibangkitkan.
“Jangan jadi macam hari tu pada sidang (DUN) penggal lepas mencadangkan kepada Kerajaan Negeri bagi RM2 juta untuk Tabung Bencana. Padahal Kerajaan Negeri dah bagi RM10 juta.
“Maknanya kalau ADUN Cheka peka terhadap perkara itu, membuat bacaan, rujukan dan sebagainya saya fikir YB ADUN Cheka tak akan mengeluarkan cadangan begitu,” katanya.
YB. ADUN Cheka sebelum ini mendakwa kedudukan kewangan Negeri Pahang berada pada tahap membimbangkan ketika pada sidang perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

