Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Kadar pengangguran di Pahang yang mencatatkan penurunan kepada 1.7 peratus pada tahun ini adalah hasil peningkatan nilai pelaburan masuk ke negeri ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan nilai pelaburan turut menambahkan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Apabila pelaburan masuk ke negeri kita banyak, KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) kita meningkat, sebagai contohnya pada tahun 2024, KDNK kita (Pahang) 5.7 peratus lebih daripada (kadar) nasional 5.1 peratus.
“Jadi bila KDNK kita meningkat, kita dapat pelaburan RM17 billion. Bila pelaburan datang, kita mampu mengurangkan pengangguran. Contohnya, pada tahun 2024, 2.2 peratus pengganguran di Negeri Pahang.
“Pada tahun ini sehingga bulan September, dari 2.2 peratus turun kepada 1.7 peratus (kadar pengangguran) maknanya daripada 16,700 turun kepada 14,000. Jadi bila pelaburan masuk banyak, kadar pengangguran berkurang, dan peluang pekerjaan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Abdul Aziz Haji Mat Kiram pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. – PAHANGMEDIA

